Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) telah mengadakan Majlis Membaca Ratib Al-Attas, Solat Sunat Hajat dan Solat Fardu Asar berjemaah pada petang ini bertempat di Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar, Daerah Temburong.
Hadir di majlis tersebut ialah Yang Berhormat Haji Awang Sulaiman bin Haji Nasir, Ahli Majlis Mesyuarat Negara selaku Ketua Kampong Labu Estate dan Piasau-Piasau, Yang Mulia Awang Ridzuan bin Haji Ahmad, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan) di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) selaku Pemangku Setiausaha MKKJR, ahli-ahli MKKJR berserta wakil, pegawai-pegawai kanan serta kakitangan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) dan Jabatan-Jabatan di bawahnya dan juga Penghulu-Penghulu Mukim, Ketua-Ketua Kampong dan penduduk-penduduk disekitarnya di Daerah Temburong.
Majlis dimulakan dengan bacaan Ratib Al-Attas, Solat Sunat Hajat dan diteruskan dengan Solat Fardu Asar berjemaah yang dipimpin oleh Yang Mulia Imam Norezam bin Haji Zaini, Imam Tingkat 3, Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar, Daerah Temburong. Majlis ini adalah antara inisiatif berterusan MKKJR dalam memohon keberkatan dan perlindungan daripada Allah Subhanahu Wata'ala agar para pengguna jalan raya sentiasa dilindungi daripada sebarang musibah dan kemalangan serta agar Negara Brunei Darussalam akan sentiasa berada dalam keadaan aman, selamat dan diberkati.
Dalam kesempatan ini, MKKJR menyeru kepada semua pengguna jalan raya supaya meningkatkan kewaspadaan dengan memberikan tumpuan dan perhatian penuh ketika berada di jalan raya serta mematuhi undang-undang lalu lintas, khususnya dengan mematuhi had kelajuan, selaras dengan tema Kempen Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya iaitu “Watch Your Speed, Watch The Road".
Dalam hal ini, MKKJR juga menekankan bahawa keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab bersama yang memerlukan komitmen berterusan daripada semua pihak sama ada agensi kerajaan, sektor swasta mahupun masyarakat umum, demi melindungi nyawa serta kesejahteraan semua pengguna jalan raya di Negara Brunei Darussalam.
Disediakan oleh:
Urusetia MKKJR
Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi,
Negara Brunei Darussalam
mkkjr@mtic.gov.bn